KUALA SELANGOR – Kerajaan negeri akan menggunakan dron berteknologi tinggi dalam memantau sungai-sungai di negeri ini pada tahun depan.
Exco Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Sains, Teknologi Dan Inovasi (STI) dan Hal Ehwal Pengguna, Hee Loy Sian berkata, penggunaan itu selepas mendapat kelulusan RM20juta dalam Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Selangor (MTES) dalam mengelakkan isu pencemaran sehingga berlakunya henti tugas terhadap Loji Rawatan Air (LRA) di Selangor.
“Pemantauan dilakukan dalam mengambil sampel-sampel air termasuk untuk ujian dengan lebih berkesan dan tepat.
“Dron ini juga boleh memasuki tempat-tempat terpencil untuk tujuan sama,” katanya pada sidang akhbar selepas meninjau LRA Sungai Selangor Fasa 2 di sini hari ini.
Turut hadir Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.
Beliau memberitahu, kerajaan negeri juga akan meminda undang-undang berkaitan dengan denda antara RM200,000 hingga RM1juta dan penjara sehingga tiga tahun dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) yang akan bersidang awal bulan depan.
“Kita juga akan menawarkan ganjaran RM20,000 kepada individu yang menyampaikan maklumat berhubung individu atau pihak yang ingin melakukan pencemaran ini,” jelasnya.
Mengulas mengenai kilang di sepanjang sungai, Loy Sian menegaskan tiada sebarang industri atau kilang di laluan tersebut.
“Kalau ada pun jauh iaitu lebih 30 hingga 50 kilometer,” tegasnya. -K!ONLINE