PETALING JAYA – Axiata Group Bhd melantik Maya Hari sebagai Pengarah Bukan Eksekutif Bebas berkuat kuasa semalam.
Kumpulan syarikat telekomunikasi itu dalam kenyataan memberitahu, Maya, 44, ketika ini berkhidmat sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) di syarikat pemula niaga teknologi iklim Terrascope.
Maya juga kini bertanggungjawab dalam lembaga Aviva Singlife Holdings sebagai Pengarah Bukan Eksekutif dan Pengerusi Jawatankuasa Digital dan Teknologi.
“Dalam dekad yang lalu, Maya memimpin organisasi bersama syarikat teknologi seperti Twitter, Samsung Asia dan Conde Nast India.
“Beliau berjaya menerajui usaha pendigitalan, pengewangan dan penskalaan melangkaui piagam tradisional setiap organisasi yang pernah beliau bersama,” katanya.
Tambahnya, beliau sebelum ini pernah mengasaskan dan merupakan CEO platform e-dagang dengan pengalaman sedekad dalam strategi dan pemasaran bersama Schlumberger, Cisco Systems, Google dan Microsoft Corp sejak tahun 2000.
“Selain itu, pengalaman profesional dan pengarahannya, beliau adalah pelabur budiman yang memberi tumpuan kepada modal teroka peringkat awal dalam bidang teknologi, makanan, pertanian dan sektor berkaitan dalam kemapanan,” ujarnya.
Sementara itu, Pengerusi Axiata, Tan Sri Shahril Ridza Ridzuan berkata Lembaga Pengarah Syarikat mengalu-alukan kedatangan Maya ke dalam syarikat dilihat dapat membawa kepelbagaian wawasan global dan komprehensif kepada kumpulan syarikat.
“Pengalaman beliau dalam perniagaan pertumbuhan tinggi yang dipacu teknologi, transformasi digital, pengembangan antarabangsa dan kemapanan akan membawa dimensi strategik baharu kepada usaha Axiata dalam pendigitalan dalam budaya kolaboratif dan inklusif.” katanya.
Selain itu, pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Bersama Axiata, Vivek Sood, berkata pengalaman antarabangsa yang luas dimilikinya dalam bidang digital dan platform digital dapat memberikan panduan apabila Axiata semakin matang dalam perniagaan digital dan mengubah organisasi ke arah mencapai visi untuk menjadi juara digital generasi akan datang. – KOSMO! ONLINE