SEBERANG PERAI – Seorang pengawal keselamatan terpaksa menerima hakikat kehilangan tempat berteduh apabila rumah sewa yang didiaminya di Kampung Lembah Raja Pinang Tunggal, Kepala Batas di sini terbakar pagi tadi.
Kejadian kira-kira pukul 10 pagi itu dipercayai berlaku ketika mangsa berusia 50 tahun dilaporkan keluar bekerja.
Pegawai Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bertam, Syahidan Sahid berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian pada pukul 10.10 pagi.
Menurut beliau, pasukannya bergegas ke lokasi kejadian dengan bantuan keanggotaan dari BBP Tasek Gelugor dan Kepala Batas.
“Sebaik pasukan tiba di tempat kejadian mendapati kebakaran berlaku melibatkan sebuah rumah separa kayu.
“Dalam kejadian itu, tiada mangsa yang terlibat dan penghuni kediaman ketika keluar bekerja,” katanya kepada Kosmo! di sini hari ini.
Tambahnya, punca kebakaran dan anggaran kerugian yang dialami masih dalam siasatan pasukan forensik bomba. – KOSMO! ONLINE