fbpx

Hukum adat menyarung cincin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Menjadi kelaziman orang Melayu mengadakan adat menyarung cincin semasa pertunangan. – GAMBAR HIASAN

APAKAH hukum bagi adat menyarung cincin ketika bertunang serta adat menyarung cincin setelah akad nikah yang biasa disebut adat batal air sembahyang?

Jawapan:
Pertunangan atau khitbah bermaksud menzahirkan keinginan untuk mengahwini seorang wanita tertentu dan wanita tersebut menyampaikan hasrat itu kepada walinya.

Apabila lamaran ini dipersetujui oleh wanita atau keluarganya, maka telah sempurnalah lamaran antara kedua-dua pihak.

Dalam pada itu, Islam juga menggalakkan umatnya untuk berkahwin kerana ia merupakan fitrah yang ditetapkan oleh Allah SWT dan juga salah satu sunnah Rasulullah SAW.

Sebuah perkahwinan akan dianggap sah sekiranya memenuhi rukun-rukun dan syarat-syarat seperti yang telah ditetapkan syarak.

Dr. Muhammad Zuhaili telah menyebut dalam kitabnya bahawa tidak akan sempurna akad nikah itu melainkan dengan memenuhi rukun-rukunnya dan melengkapi syarat-syarat bagi setiap rukun tersebut.

Beliau juga memperincikan rukun-rukun nikah kepada enam perkara iaitu sighah (ijab dan qabul), al-‘aqidan (pengantin lelaki dan wali), pengantin perempuan dan dua orang saksi.

Pada asalnya, perbuatan menyarung cincin bukanlah tuntutan syarak melainkan adat turun-temurun bagi masyarakat Melayu semata-mata.

Lazimnya, mengikut adat masyarakat Melayu ketika pertunangan, cincin bertunang akan disarungkan oleh wakil keluarga lelaki yang kebiasaannya bakal ibu mentua kepada bakal pengantin perempuan sebagai tanda atau simbolik untuk ke arah perhubungan yang serius iaitu menjadikan wanita tersebut sebagai isteri.

Begitu juga adat menyarung cincin setelah akad nikah. Ia bukanlah satu rukun atau syarat dalam menentukan bahawa akad itu sah atau tidak kerana ia tidak termasuk dalam rukun nikah bahkan merupakan satu adat yang juga dipanggil sebagai acara batal air sembahyang.

Menurut sebuah kaedah fiqh: “Asal pada adat itu adalah harus kecuali apa yang datang daripada syarak akan pengharamannya.”

Justeru, adat kebiasaan yang dilakukan oleh sesuatu masyarakat itu adalah harus selagi mana tidak terdapatnya perkara atau dalil yang mengharamkan adat kebiasaan tersebut. Misalnya terdapat sebarang kepercayaan atau ritual berkenaan adat tersebut yang boleh membawa kepada khurafat dan syirik.

Kami berpendapat adat menyarung cincin ketika bertunang merupakan adat yang harus dan tidak bercanggah selagi mana tiada perkara yang melanggar syarak dilakukan.

Sebagai contoh, si lelaki sendiri menyarungkan cincin tunang kepada bakal isterinya atau terdapat kepercayaan bahawa dengan pemakaian cincin itu, ia akan membina ikatan yang kuat antara bakal pasangan pengantin. Keyakinan yang sebegini adalah bertentangan dengan syarak, maka hendaklah ditinggalkan.

Begitu juga dengan adat batal air sembahyang iaitu dengan menyarungkan cincin antara pasangan pengantin harus dilakukan, dengan syarat tiada perbuatan lain dilakukan antara suami isteri yang melampaui batas syarak yang tidak sepatutnya dipertontonkan di hadapan khalayak ramai.

Namun, kami juga berpendapat adalah lebih baik sekiranya dilakukan secara tertutup tanpa menjadi tatapan umum.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI