fbpx

Keluarga kru kapal kargo hilang, harap mangsa selamat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SYAFARIZAN antara lima kru kapal kargo, MV Dai CAT 06 yang dilaporkan hilang selepas berlepas dari jeti Kampung Acheh, Perak ke Kuching, Sarawak pada 1 Januari lalu.

GEORGE TOWN – Keluarga salah seorang kru kapal kargo, MV Dai Cat 06 yang dilaporkan hilang sejak 1 Januari lalu berharap agar anak mereka bersama empat lagi kru ditemui dalam keadaan selamat.

Mohd. Noor Mat Isa, 53, yang merupakan bapa kepada Ketua Operasi kapal, Mohammad Syafarizan Mohd. Noor, 24, berkata, dia dan isteri hanya mampu berdoa agar anak sulung mereka itu kembali ke pangkuan keluarga.

Menurutnya, dia dimaklumkan mengenai kejadian berlaku daripada adiknya selepas menonton berita di siaran televisyen berbayar malam semalam.

“Saya dan isteri terkejut sebaik diberitahu mengenai kejadian yang menimpa anak sulung dari tujuh beradik. Dia baru pertama kali hendak belayar dan baru sebulan bekerja dengan syarikat kapal kargo tersebut hujung Disember tahun lalu.

“Kali terakhir dia membuat panggilan video dengan ibunya ketika baru keluar dari Selat Singapura menghala ke Timur Indonesia pada pukul 6.30 petang, 1 Januari lalu,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini sebentar tadi.

Mohd. Noor memberitahu, dia dan isteri ada menghubungi Syafarizan namun gagal dan beranggapan yang anaknya itu berada di luar kawasan liputan.

“Naluri seorang bapa, dia (Syafarizan) dan rakannya masih selamat. Namun, cuma dua teori yang saya dapat jangkaan sama ada kapal yang dinaiki mereka karam atau rosak di lautan.

“Kami masih menunggu perkembangan terkini daripada pihak Maritim Malaysia (APMM) Johor. Petang tadi kami telah dikunjungi pasukan Kementerian Kesihatan (KKM) dan Jabatan Laut Pulau Pinang,” ujarnya.

Selain Syafarizan, empat lagi kru warga tempatan yang dikenal pasti ialah Mohammad Sudeh Sudin, 20 dan Derrent Littor, 22 manakala dua warga Indonesia ialah nakhoda kapal dikenali sebagai Adi, 43 serta Jurutera kanan kapal iaitu Damai Papane Ole, 57.

Terdahulu, media melaporkan, kapal kargo membawa muatan 527 besi paip yang dianggarkan bernilai kira-kira RM726,000 berlepas dari Jeti Kampung Aceh, Perak pada 23 Disember lalu dan sepatutnya tiba di lokasi di Kuching, Sarawak pada 31 Disember lalu.

Lokasi terakhir kapal ini dikesan melalui sistem Automatic Identification System (AIS) adalah pada 1 Januari lalu di perairan Indonesia, 0.2 batu nautika dari sempadan perairan negeri Johor. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI