PARIS – Penyerang Paris Saint-Germain (PSG), Lionel Messi melakukan satu jaringan ketika membantu pasukan itu menewaskan Angers 2-0 pada aksi Ligue 1 Perancis di Parc des Princes awal pagi semalam.
Kapten Argentina itu melakukan penampilan pertama selepas membantu negaranya menjulang Piala Dunia 2022 di Qatar bulan lalu dan dia meneruskan aksi magis bagi membantu PSG mengukuhkan cengkaman sebagai peneraju liga.
Jurulatih PSG, Christophe Galtier menyuarakan rasa gembira apabila menyaksikan Messi kekal menampilkan aksi konsisten selain mencetak nama selaku penjaring bersama Hugo Ekitike.
“Terima kasih kepada semua penyokong yang menyambut baik kepulangan Messi dan ia sangat bermakna buatnya. Messi sudah cergas sepenuhnya selepas aksi Piala Dunia dan dia juga menjaringkan gol penting buat pasukan.
“Dia seorang pemain yang memerlukan jaringan gol, jadi saya sangat gembira dengan aksi ditampilkan. Messi juga ada beritahu dia tidak ada sebarang kecederaan dan mampu bermain 90 minit,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut menjelaskan penggunaan formasi 3-4-2-1 pada perlawanan tersebut adalah bagi memastikan pasukannya bermain lebih fleksibel selain mampu mengeluarkan potensi sebenar pemain.
“Formasi ini memang khusus untuk perlawanan hari ini (semalam). Saya sudah berbincang dengan semua pemain dan mereka faham mengenai keputusan tersebut. Perlawanan ini membuktikan pemain-pemain PSG mampu untuk menyesuaikan diri,” ujar Galtier. – AGENSI