ARAB SAUDI – Pemandu Republik Czech, Ales Loprais yang mendahului kategori trak membuat keputusan menarik diri pada perlumbaan paling mencabar di dunia, Rali Dakar selepas kematian seorang penonton dari Itali kelmarin.
Insiden tersebut berlaku pada saingan Peringkat 9 apabila Loprais dikatakan telah melanggar penonton berusia 69 tahun sehingga menyebabkan kematian.
Mangsa dikatakan berdiri di sebalik benteng pasir sambil merakam gambar sebelum dilanggar oleh Loprais dan mengalami kecederaan parah sebelum meninggal dunia di hospital.
“Penganjur menunjukkan rakaman video kemalangan ketika perlumbaan itu yang menunjukkan kami telah melanggar seorang lelaki.
“Mangsa cedera dan sebelum diserang sakit jantung ketika dikejarkan ke hospital. Satu nyawa manusia telah berakhir, secara tidak langsung ia adalah salah saya kerana saya yang memandu jentera ini.
“Saya mengakui bahawa saya dan rakan sepasukan saya tidak tahu sama sekali mengenainya. Malangnya mangsa berdiri di bawah bukit pasir dan kami langsung tak nampak kelibatnya.
“Saya memohon maaf dan insiden ini akan bersama sepanjang hayat saya bergelar pelumba,” kata Loprais.
Ketika ini, pihak penganjur Rali Dakar sudah mengadakan kerjasama dengan pihak berkuasa tempatan bagi menyiasat kematian tersebut secara terperinci.
– AGENSI