MELAKA – Bekas jurulatih, Saiful Hadee Amar, 44, enggan mengulas lanjut mengenai keputusan dibuat Persatuan Bola Tampar Malaysia (MAVA) yang membatalkan lesen kejurulatihannya susulan insiden menampar dua pemainnya.
Dia ketika dihubungi Kosmo! hanya menjawab ringkas apabila ditanya mengenai keputusan tersebut.
“Saya penjawat awam, tak boleh beri komen, harap faham,” katanya sebelum menamatkan panggilan.
Kosmo! hari ini melaporkan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh memaklumkan, MAVA melalui Jawatankuasa Perundangan dan Disiplin persatuan telah membuat keputusan membatalkan lesen Saiful yang mesra dengan panggilan Cikgu Hadee.
Menurutnya, sebagai langkah awal, jurulatih sukan tersebut yang juga merupakan seorang guru tidak lagi dibenarkan menjadi jurulatih sukan tersebut termasuk jurulatih untuk murid sekolah.
Kata Hannah, Sijil Kejurulatihan Bola Tampar Tahap 1 (Sukan Spesifik) oleh MAVA jurulatih itu telah ditarik semula, malah Cikgu Hadee belum pernah membuat permohonan lesen kejurulatihan Skim Perlesenan Kejurulatihan Kebangsaan (SLKK) sebagai pengiktirafan Skim Persijilan Kejurulatihan Kebangsaan (SPKK).
Terdahulu, bekas jurulatih pasukan bola tampar wanita Melaka B-14 itu menjadi tumpuan apabila tular satu klip video memaparkan tindakannya menampar dua pemainnya sewaktu Kejohanan Remaja B-14 di Kota Tinggi, Johor pada 16 Disember lalu.
Pada 4 Januari lalu, Cikgu Hadee yang merupakan guru sekolah rendah di Alor Gajah membuat permohonan maaf secara terbuka dan memberitahu dia bersedia dan reda dengan segala keputusan yang bakal dikenakan terhadapnya.
Katanya, dia tidak berniat melakukan perbuatan tersebut sehingga boleh mendatangkan kecederaan dan apa yang dilakukan sekadar bagi menaikkan lagi semangat pemainnya yang pertama kali layak ke separuh akhir.
“Saya mengakui kesal dengan tindakan itu (menampar pemain) dan terbuka untuk menerima apa jua bentuk tindakan daripada mana-mana pihak berhubung perbuatan saya.
“Saya tidak berniat untuk menggunakan sebarang kekerasan dalam melatih semua pemain memandangkan sudah melatih mereka sejak di bangku sekolah rendah dan menganggap sebagai keluarga,” katanya. – KOSMO! ONLINE