LONDON – Pengurus Manchester City, Pep Guardiola mengakui pasukannya layak untuk tersingkir daripada kejuaraan Piala Liga Inggeris (EFL) musim ini selepas tewas mengejut 0-2 kepada Southampton pada aksi suku akhir awal pagi semalam.
Pada perlawanan tersebut, City yang membariskan pemain-pemain sensasi seperti Phil Foden, Julian Alvarez, Jack Grealish dan Ilkay Gundogan dilihat beraksi longlai dengan pasukan tuan rumah tampil lebih agresif untuk merekodkan kemenangan.
Kata Guardiola, tiada alasan yang boleh diberikan selain percaya pasukannya mempamerkan corak permainan sambil lewa dengan tidak mencipta sebarang ancaman bahaya ke kubu The Saints awal pagi semalam.
“Saya tidak mahu memberikan alasan kerana Southampton jauh lebih baik dan kita tidak beraksi dengan baik sejak wisel pertama ditiupkan lagi. Secara jujur, saya tidak tahu apa yang berlaku kerana pemain seperti tidak bersedia untuk beraksi di atas padang.
“Ini adalah hari yang teruk dengan keputusan yang mengecewakan buat kami. Namun, tiada apa yang boleh kami katakan selain ucap selamat maju jaya kepada Southampton yang sememangnya layak untuk ke separuh akhir,” katanya.
Sementara itu, Gundogan mengakui beberapa kesilapan mudah yang dipamerkan oleh rakan-rakan sepasukan menjadi salah satu faktor mereka tewas mengejut pada aksi kali ini.
“Sepatutnya kami boleh menang perlawanan ini, tetapi inilah hakikat bola sepak yang mana apabila anda gagal memanfaatkan peluang selain beberapa kesilapan dibuat, sudah tentu pasukan akan dihukum,” kata pemain antarabangsa Jerman itu. – AGENSI