NAMA penyanyi bersuara lantang, Ayu Damit pernah menjadi bualan ramai suatu ketika dahulu apabila dia berjaya menyandang gelaran juara program realiti nyanyian fenomena sekitar hampir 15 tahun lalu.
Setelah sekian lama menyepi, anak kelahiran Putatan, Sabah itu kembali merancakkan industri muzik dengan mempertaruhkan single terbaharunya dalam genre balada berjudul Kejam.
Karya tersebut hasil ciptaan komposer muda Khairul Daniel, manakal liriknya ditulis sendiri oleh Ayu bersama Slen dan Jay.
Ayu atau nama sebenarnya Norayu Damit menzahirkan rasa syukur kerana dapat melahirkan single terbaharunya selepas menghadapi pelbagai rintangan.
“Syukur alhamdulillah, penantian selama dua tahun akhirnya berbaloi dengan terlahirnya single Kejam, pelbagai rintangan terpaksa dihadapi bagi menyiapkan lagu ini.
“Mana tidaknya, hampir setahun diperuntukkan untuk sampai ke tahap ini, namun saya akur ini adalah ketentuan-Nya kerana kita hanya mampu merancang dan Tuhan yang menentukan segalanya,” ujarnya.
Perjalanan seni Ayu bermula setelah menjuarai pertandingan realiti pada 2008 sehingga dinobatkan pemenang bagi kategori Vokal Terbaik (Wanita) di Anugerah Industri Muzik (AIM) pada tahun yang sama.
Setelah itu, namanya seakan pudar dari radar industri muzik tempatan.
“Selepas beberapa tahun berada dalam industri, kerjaya seni saya ada kalanya naik dan turun disebabkan beberapa faktor. Rezeki seakan tidak menyebelahi sehinggalah saya membuat keputusan untuk fokus terhadap keluarga dan juga perniagaan yang diusahakan bersama suami.
“Selepas menyertai Gegar Vaganza musim ketujuh (GV7) dan berjaya memperoleh tempat ketiga, dari situlah saya mula konsisten untuk kembali aktif menyanyi dan mengembangkan lagi bakat di bawah pengurusan JoePRC International,” katanya.
Usaha bersama suami
Menariknya cerita Ayu, single Kejam terhasil bertitik tolak daripada usahanya sendiri bersama suami tercinta, Syed Fauzi Syed Baharuddin.
Lelaki itu sentiasa menyokong setiap keputusan yang diambilnya sehingga sanggup mengeluarkan modal sendiri dan tidak mengharapkan mana-mana tajaan kerana terlalu serik dengan pengalaman lalu.
“Saya bertemu dan berbincang dengan komposer bernama Khairul Daniel lantas menyatakan lagu bagaimana yang saya mahukan. Dia seakan mengerti kehendak serta cita rasa saya. Setelah berbincang kami terus ke studio bagi memulakan proses rakaman lagu tersebut.
“Bayangkan proses untuk menyiapkan lagu ini bermula dari bulan Februari sehingga Oktober tahun lalu kerana banyak perkara terpaksa saya uruskan sendiri dengan tunjuk ajar komposer yang banyak membantu,” katanya.
Menurut penyanyi berusia 34 tahun itu lagi, single Kejam menceritakan tentang perhubungan bertepuk sebelah tangan yang berkisar sepasang kekasih mengharapkan cinta, namun tidak berbalas dan tiada kata putus lantas perbuatan kekasihnya dianggap ‘kejam’ kerana telah disia-siakan.
Sementara itu, menurut Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas JoePRC International, Joe Saiful berkata, pihaknya percaya dengan bakat besar yang dimiliki Ayu.
“Saya percaya dengan bakat yang dimiliki Ayu kerana kebolehannya dalam bidang seni tidak perlu dipertikaikan lagi. Melalui lagu ini diharapkan dapat membagkitkan semula kerjaya seni Ayu,” ujar Joe.
Lagu Kejam boleh boleh dinikmati pada bila-bila masa melalui aplikasi penstriman atas talian seperti JOOX, KKBox, Spotify, Deezer, Apple Music dan juga YouTube Music. Lirik videonya yang berkonsepkan ‘simple elegance’ boleh ditonton dalam saluran YouTube Alternate Records.