fbpx

Mahkamah: Peniaga lepas tanpa bebas muat naik hantaran jelik Najib, Rosmah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Syed Ahmad Saifullah (tengah) bersama peguamnya Rajsurian Pillai (kiri) ketika hadir di Mahkamah Sesyen di sini.

KUALA LUMPUR – Seorang peniaga dilepas tanpa dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan membuat serta menghantar komunikasi yang jelik terhadap bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan isterinya Datin Seri Rosmah Mansor, sembilan tahun lalu.

Hakim Nor Hasniah Ab Razak membuat keputusan itu selepas membenarkan bantahan awal peguam Rajsurian Pillai yang mewakili Syed Ahmad Saifullah Hashim, 34, selaku Orang Kena Saman (OKS) terhadap pertuduhan yang dihadapi anak guamnya.

“Mahkamah melepas tanpa membebaskan OKS daripada pertuduhan selepas mendapati pertuduhan tersebut adalah cacat dan tidak berasas,” kata hakim Nor Hasniah pada prosiding kes hari ini.

Pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Nurilya Ellyna Nor Azmal. Selain Rajsurian Pillai, OKS turut diwakili peguam Jacqueline Hannah Albert.

Pada 21 Julai lalu, Syed Ahmad Saifullah mengaku tidak bersalah atas pertuduhan memuat naik satu kiriman berhubung ‘pesawat yang dinaiki isteri dan PM dalam perjalanan pulang dari Perth telah hilang dari radar dan dijumpai terhempas di Lautan Sumatera Selatan. Al-Fatihah” melalui aplikasi Facebook “Syed Saifullah”.

Syed Ahmad dituduh melakukan perbuatan itu dengan niat menyakitkan hati orang lain antara 2 dan 4 April 2014  dan hantaran itu kemudiannya dibaca pukul 11.35 malam di sebuah premis, di Plaza Pekeliling Jalan Kampar, Off Jalan Ipoh, Sentul di sini pada 4 April 2014.

Berikutan itu pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 233 (1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta boleh dihukum mengikut Seksyen 233(3) akta sama.

Hukuman bagi seksyen itu memperuntukkan penjara setahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI