fbpx

Ais blok tercemar, kilang diarah henti jualan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ais yang dipercayai tercemar di sebuah kilang ais di Kuantan.

KUANTAN – Sebuah kilang ais blok diarah memberhentikan aktiviti penjualan selepas ais blok yang dikeluarkan kilang berkenaan didapati tercemar dengan mikroorganisma yang boleh memberikan kesan serius kepada kesihatan pengguna.

Pengarah Kesihatan Negeri, Datuk Dr. Nor Azimi Yunus berkata, kilang yang turut didapati tamat tempoh sah lesen pada 19 Disember tahun lalu itu tidak dibenarkan beroperasi sehingga keputusan sampel ais blok mematuhi piawaian ditetapkan di bawah Akta Makanan 1983 dan lesen ais blok yang sah diperolehi dari Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Keputusan sampel ais blok yang diterima pada 15 Disember 2022 menunjukkan pencemaran mikroorganisma Pseudomonas aeruginosa di dalam sampel ais blok di kilang berkenaan.

“Pensampelan ulangan juga telah dijalankan pada 20 Disember 2022 dan keputusan sampel yang diterima pada 8 Januari 2023 masih menunjukkan pencemaran mikroorganisma Pseudomonas aeruginosa di dalam sampel ais blok,”katanya di sini hari ini.

Menurut Nor Azimi, berdasarkan peruntukan di dalam Jadual ke-25 A, Akta Makanan 1983 kehadiran mikroorganisma Pseudomonas aeruginosa adalah tidak dibenarkan di dalam produk ais blok.

Jelasnya Pseudomonas aeruginosa boleh memberi kesan yang serius kepada kesihatan terutama golongan yang mempunyai sistem imun yang rendah.

“Pihak premis perlu menjalankan siasatan dan mengambil tindakan pembetulan bagi memastikan tiada pencemaran mikroorganisma Pseudomonas aeruginosa di dalam ais blok yang dihasilkan.

“Premis akan dibenarkan beroperasi semula setelah sampel ais blok dan lesen mematuhi keperluan yang ditetapkan di bawah Akta Makanan 1983,”katanya.

Dalam pada itu beliau berkata, tindakan itu dilihat tidak menjejaskan bekalan ais blok kepada nelayan kerana terdapat kilang ais blok lain yang masih beroperasi di daerah ini.

Katanya bagi memastikan keterjaminan makanan perikanan tidak terjejas, nelayan atau pengusaha industri perikanan yang berkaitan dicadang menggunakan sumber ais blok daripada kilang lain berdekatan.

Jelasnya keperluan penyediaan ais blok yang selamat adalah terpakai kepada semua premis yang menghasilkan ais blok bagi maksud perdagangan atau perniagaan termasuk bagi tujuan penyejukan dan penyediaan makanan.

“Peraturan 394A, Peraturan-Peraturan Makanan 1985 memperuntukkan ais blok hendaklah diperolehi daripada air yang selamat sebagaimana standard yang ditetapkan dalam Jadual ke-25 A, Akta Makanan 1983.

“Mana-mana pemilik premis penyediaan ais blok yang tidak mematuhi peraturan ini adalah melakukan suatu kesalahan dan boleh, apabila disabitkan, didenda tidak melebihi RM10,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun,”ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI