PASIR PUTEH – Seorang kontraktor didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh seorang lelaki di hadapan sebuah rumah kira-kira dua tahun lalu.
Tertuduh, Tuan Mohamad Ridzwan Tuan Mohamad, 34, hanya mengangguk faham selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Majistret Mohd. Izuddin Mohd. Shukri.
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh.
Mengikut pertuduhan, Tuan Mohamad Ridzwan didakwa membunuh Che Sobrie Che Ali, 37.
Perbuatan itu dilakukan olehnya kira-kira pukul 9.30 malam hingga 10 malam di Kampung Saring di sini pada 1 Ogos 2021.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman mati jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Siti Asma’a Che Omar manakala tertuduh diwakili peguam, Wan Mohd. Ikram Wan Ibrahim.
Mahkamah menetapkan 12 April depan untuk sebutan semula kes.
Kosmo! sebelum ini melaporkan, mayat seorang lelaki ditemui dengan kesan kecederaan pada bahagian kepala dipercayai dipukul dengan menggunakan objek tumpul di hadapan sebuah rumah di sini pada 1 Ogos 2021.
Mayat itu dijumpai dalam keadaan terlentang di kawasan itu kira-kira pukul 9.30 malam.
Bekas Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat berkata, sehubungan itu, pihaknya memburu salah seorang daripada lima suspek iaitu Tuan Mohd. Ridzwan atau lebih dikenali sebagai Iwe Telosan yang berasal dari Kampung Telosan, Pasir Puteh.
Katanya, polis sebelum itu telah menahan empat lelaki berusia antara 34 hingga 44 tahun untuk membantu siasatan selepas mereka mengaku berada di lokasi kejadian. – KOSMO! ONLINE