PETALING JAYA – Paracetamol atau lebih dikenali sebagai ‘Panadol’ oleh kebanyakan masyarakat serta sebarang ubat tahan sakit jika dimakan terlampau kerap, dipercayai boleh merosakkan organ dalaman tubuh.
Dr. Malar Santhi Santherasegapan di Facebook Celoteh Dr. Malar menjelaskan, sebiji paracetamol tidak menyebabkan kerosakan organ dalaman namun pengambilan berterusan boleh menyebabkan ia berlaku.
“Sebiji Paracetamol tidak akan ‘stay lama-lama’ dalam tubuh kita dan menyebabkan rosak organ dalaman lima tahun kemudian. Itu pemahaman yang salah. Sebiji tu dah keluar daripada tubuh pada hari yang sama.
“Tetapi, apabila sebiji panadol/paracetamol dimakan setiap hari berminggu-minggu, berbulan-bulan, sehingga menjadi tahun, itu berpotensi merosakkan organ dalaman iaitu hati dan (atau) buah pinggang,” jelasnya.
Tambahnya lagi, Panadol adalah nama sebuah jenama bagi paracetemol, bukan nama khusus bagi ubat tertentu berikutan ramai dalam kalangan masyarakat yang masih beranggapan Panadol adalah nama bagi sejenis ubat.
“Macam Maggi nama jenama, bukan bermaksud mi segera, macam Colgate nama jenama ubat gigi.
“Jadi ingat, Panadol adalah nama jenama untuk ubat paracetemol,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE