KUANTAN – Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) digesa lebih proaktif melakukan operasi berterusan termasuk menangkap gajah-gajah liar yang ganas.
Pengerusi Gajah Liar Pahang, Datuk Nazri Ngah berkata, dalam menangani ancaman gajah khususnya terhadap Orang Asli tindakan konkrit perlu dilakukan termasuk membina pagar-pagar elektrik di sekeliling kampung dan kebun masyarakat itu.
“Perhilitan kena proaktif buat penangkapan mana-mana gajah yang ganas itu hantar ke Perkampungan Konservasi Gajah Kenyir.
“Perhilitan tahu mana tempat laluan gajah jadi mereka kena selalu melakukan operasi, jangan berlaku kematian baru nak buat operasi,” katanya di sini hari ini.
Berita berkaitan: Gajah tendang, pijak mati remaja macam bola
Semalam Kosmo! melaporkan, remaja lelaki Orang Asli, Andy Yok Manin, 15, mati dipijak, ditendang dan dilambung seekor gajah liar di Pos Sinderut, Lipis Isnin lalu.
Kejadian ngeri itu berlaku hanya sebulan selepas seorang wanita Orang Asli maut diserang kawanan gajah liar di Pos Betau, Lipis pada 6 Disember lalu.
Nazri turut mencadangkan satu sentri gajah liar dibina di Pahang bagi menempatkan gajah-gajah liar yang berhadapan konflik dengan manusia di negeri ini.
“Ia wajar untuk mengurangkan kos penghantaran gajah ke Terengganu yang mencecah RM50,000 seekor.