PENGENDALI Thailand, Alexandre Polking percaya strategi ampuh yang direncanakan menjadi punca pasukan boleh melangkah ke pentas final Piala AFF 2022 selepas menewaskan Malaysia 3-1 secara agregat kelmarin.
Pada aksi separuh akhir kedua di Stadium Thammasat itu, skuad Gajah Perang mempamerkan kebangkitan daripada ketinggalan 0-1 di Stadium Nasional Bukit Jalil minggu lalu dengan merekodkan kemenangan bergaya 3-0.
Menurut Polking, apa yang dipamerkan oleh pasukannya ketika di tempat lawan adalah jauh lebih baik berbanding di laman sendiri meskipun gagal merekodkan kemenangan.
“Saya rasa kami bermain dengan lebih baik di Bukit Jalil tetapi dua aksi separuh akhir ini juga memberikan dimensi tersendiri buat kedua-dua pasukan.
“Secara keseluruhan, aksi telah ditentukan dalam tempoh 180 minit dan saya percaya strategi yang dirancang menjadi.
“Jika ditanya mengenai aksi kali ini, saya akui gol awal yang dijaringkan telah memberi kelegaan buat pasukan yang boleh beraksi seperti biasa selepas itu.
“Pasukan lawan juga tidak dapat beraksi seperti kebiasaan dengan mencipta peluang bahaya kerana pertahanan kami menjalankan tugas dengan sempurna,” kata pengendali import dari Brazil itu.
Skuad Gajah Perang yang merupakan juara bertahan akan menentang Vietnam pada aksi final Piala AFF 2022 kali ini.
Thailand akan bertandang ke Stadium My Dinh, Hanoi untuk pusingan pertama malam esok sebelum melayan kunjungan skuad Naga Emas di Bangkok pada aksi kedua, Isnin depan.