fbpx

Presma lega, kekurangan pekerja dapat diatasi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN

PETALING JAYA – Keputusan kerajaan untuk mewujudkan Pelan Kelonggaran Penggajian Pekerja Asing seperti diumumkan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail memberi sinar baru kepada industri restoran di negara ini.

Keputusan itu akan menyedia­kan keperluan tenaga kerja warga asing yang ditunggu penggiat industri itu sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Presiden Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma), Datuk Jawahar Ali Taib Khan berkata, pihaknya me­ngalu-alukan keputusan itu dan menyifatkan ia sebagai berita gembira.

“Ia jelas satu usaha segera kerajaan membantu peniaga dan sektor yang memerlukan pekerja asing selepas bergelut dengan kekurangan tenaga kerja.

“Yang jelas, kerajaan bertindak segera untuk membantu pengusaha restoran secara keseluruhan yang rata-ratanya berdepan kesukaran meneruskan operasi seperti biasa akibat Covid-19 sebelum ini,” katanya.

Menurutnya, antara cadangan yang dikemukakan kepada kerajaan termasuk lanjutan program rehiring untuk tahun keenam dan seterusnya, kuota sedia ada 1:3 ditambah kepada 1:10, had umur daripada 18 ke 45 tahun ditambah kepada 18 hingga 55 tahun dan penyelarasan levi sehingga tahun ke-13.

“Kita juga minta pekerja baharu diberi tempoh tiga bulan untuk menyesuaikan diri dan jika mereka nekad untuk pulang ke negara asal, maka pengakuan perlu dibuat di hadapan pegawai Jabatan Imigre­sen (JIM) dan kuota gantian secara automatik diberikan.

“Selain itu, Presma mencadangkan agar dalam kes pekerja yang lari, perlu ada laporan polis dan sekiranya majikan membayar denda, maka satu gantian automatik perlu diberi,” katanya.

Beliau turut mengalu-alukan langkah kerajaan mengembalikan aspek kelulusan pekerja asing di bawah seliaan Kementerian Dalam Negeri yang akan dapat mengembalikan keyakinan penggiat industri.

“Menerusi langkah proaktif ini, ia dijangka dapat membantu pemulihan ekonomi negara memandangkan sektor restoran turut menyumbang kepada pendapatan negara pada kadar yang tinggi setiap tahun.

“Presma juga berharap supaya program rekablibrasi diken­dalikan JIM sendiri tanpa pembabitan pihak ketiga bagi mengelak sebarang penyalahgunaan kuasa berlaku,” katanya. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI