fbpx

Empat ditahan bantu siasatan kes rasuah babitkan program khas kerajaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Dua daripada empat suspek yang ditahan reman sehingga Isnin depan bagi membantu siasatan berkaitan kes rasuah membabitkan satu program khas kerajaan bernilai RM114 juta.

PUTRAJAYA – Empat individu ditahan reman selama enam hari bagi membantu siasatan berkaitan kes rasuah membabitkan satu program khas kerajaan bernilai RM114 juta.

Perintah tahanan reman bermula hari ini hingga Isnin depan itu dikeluarkan Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin di Mahkamah Majistret di sini selepas permohonan dibuat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Sumber berkata, kesemua suspek lelaki berusia antara 38 hingga 65 tahun itu ditahan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya, di sini petang semalam selepas hadir memberi keterangan.

Menurutnya, mereka ditahan bagi membantu siasatan kerana disyaki terlibat dalam kegiatan rasuah bagi mendapatkan projek-projek menerusi satu program khas kerajaan bernilai RM114 juta.

“Mereka terdiri daripada masing-masing seorang pengarah urusan dan pengurus besar daripada dua syarikat berbeza manakala, dua lagi ialah pengarah syarikat daripada syarikat sama.

“Suspek berusia 65 tahun (pengarah urusan) dikatakan telah bertindak sebagai orang tengah dengan meminta dan menerima rasuah daripada dua pengarah syarikat tersebut dengan dibantu oleh seorang lagi suspek (pengurus besar),” katanya.

Ujarnya, orang tengah yang terlibat ini dipercayai meminta habuan tiga hingga lima peratus daripada jumlah projek sebagai balasan membantu syarikat tersebut mendapatkan projek-projek di bawah program khas kerajaan tersebut.

Difahamkan, projek berkenaan membabitkan projek membina dan menaik taraf jalan di selatan tanah air.

Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Operasi Khas, Datuk Tan Kang Sai mengesahkan penahanan tersebut dan memaklumkan kes disiasat mengikut Seksyen 16(a) (A) Akta SPRM 2009.-KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI