Oleh NOR AINNA HAMZAH
JEMPOL – Seorang gadis yang baharu sahaja berusia 15 tahun berhadapan detik-detik hitam dalam hidupnya apabila dirogol oleh kenalan Facebook yang baharu dikenali dalam tempoh seminggu dalam kejadian di salah sebuah hotel di Bahau, 17 Oktober lalu.
Difahamkan, mangsa tinggal bersama neneknya sejak kecil lagi susulan penceraian ibu bapanya.
Menurut Pemangku Ketua Polis Daerah Jempol, Deputi Superintenden, Mohd Hafiz Muhammad Nor, mangsa yang merupakan seorang pelajar telah membuat laporan polis di Balai Polis Bahau petang semalam (18 Oktober) dan polis telah berjaya menangkap suspek dalam tempoh kurang 24 jam.
“Mangsa telah menjalani pemeriksaan di Hospitan Tuanku Ampuan Najihah (HTAN) di Kuala Pilah. Pakar perbidanan dan sakit puan mengesahkan terdapat kesan koyakan pada kemaluan mangsa.
“Suspek yang juga bekerja sebagai pembantu kedai makan kini ditahan dan disiasat di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan,” katanya di sini tadi.
Hafiz berkata, suspek turut dikesan mempunyai rekod jenayah lampau di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh.
Menurutnya, berdasarkan siasatan awal kira-kira pukul 12.01 tengah malam, suspek datang ke rumah mangsa dan membawa mangsa pergi ke salah sebuah hotel di Bahau.
“Ini merupakan kali pertama mangsa keluar dengan suspek. Kemudian saspek telah daftar di kaunter dan membawa mangsa masuk ke bilik dan telah melakukan hubungan seks tanpa kerelaan mangsa,” jelasnya. – K! ONLINE