KLANG – Seorang kru kapal Taiwan dikhuatiri lemas selepas terjatuh ke laut tanpa jaket keselamatan di sekitar perairan Pulau Ketam di sini, semalam.
Kejadian pukul 10.57 pagi itu melibatkan lelaki warga Indonesia dikenali sebagai Syaefullah, 27, dan operasi pencarian kini giat dijalankan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia).
Pengarah Maritim Selangor, Kepten Maritim V. Siva Kumar berkata, siasatan mendapati Kapal FV Shuenn Man dari Taiwan itu sedang menuju je Pelabuhan Mauritius, Afrika.
Katanya, mangsa dilihat kali terakhir berbaju hijau gelap sebelum dilaporkan hilang di laut.
“Operasi mencari dan menyelamat bagi mengesan kru kapal itu telah diaktifkan sejak petang semalam dengan mengatur gerak bot Perkasa 36 dan pencarian disambung pukul 7 pagi tadi dengan turut dibantu KD Teguh Samudera daripada Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM),” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah Siva Kumar, operasi itu kini meliputi keluasan 46.98 batu nautika persegi di perairan tersebut. -KOSMO! ONLINE