fbpx

Belum ada perbincangan, keputusan kenalkan semula GST

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ahmad ketika ditemui selepas merasmikan konvesnyen Akauntan Nasional 3.0, hari ini. FOTO: AFIQ RAZALI

SHAH ALAM – Pengenalan semula Sistem cukai barang dan perkhidmatan (GST) belum dibincangkan dan diputuskan sejak kewujudan kerajaan perpaduan.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, GST sememangnya baik untuk negara dengan 83 peratus atau 170 negara di dunia ini melaksanakan sistem percukaian tersebut.

Katanya, ini termasuk kajian daripada mana-mana universiti daripada biasa sehingga ternama di dunia yang menerangkan keberkesanan GST.

“GST tidak bagus hanya kepada sesetengah orang politik yang tidak faham ekonomi.

“Tidak ada perbincangan mengenainya sejak Kerajaan Perpaduan mengambil alih (negara). Jadi, saya tidak mahu memberikan komen lebih mengenainya meskipun teori mengenainya sentiasa orang bercakap,” ,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Konvensyen Akauntan Nasional 3.0 di sini hari ini.

Justeru, beliau memberitahu, kerajaan akan melaksanakan apa yang sedang dilaksanakan dalam mengurangkan kebergantungan hutang yang kini berada di paras siling 65 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Ujarnya, pendapatan kerajaan perlu ditambah sebanyak mungkin seperti contohnya mengurangkan ketirisan dari segi penyeludupan.

“Ada yang menyebut pelarian cukai daripada rokok ini lebih kurang RM5 bilion. Jadi, kalau kita memperketatkan segala perkara berhubungnya akan membolehkan kerajaan mendapat pertambahan (hasil) sebanyak RM3 bilion hingga RM5 bilion.

“Dari segi Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), cukai sedia ada boleh ditambah dengan kaedah perundingan bertemu pelanggan dan syarikat. Kaedah kita adalah melaksanakan sesuatu itu dengan cekap, tata kelola yang baik, berkesan. Maka, hasil kerajaan boleh ditambah untuk dipulangkan kembali kepada rakyat,” katanya.

Ketika ditanya sama ada cukai baharu akan dilaksanakan kerajaan nanti, Ahmad hanya menjelaskan bajet negara sedang disiapkan sebelum dibentangkan 24 Februari depan.

“Jadi nak kata tidak ada (cukai baharu) itu dan ini tidak boleh sebut. Bajet sedang disiapkan dan hari ini baru 11 Januari dan ada sebulan lebih lagi sebelum (pembentangan) bajet,” katanya. -KOSMO!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI