JOHOR BAHRU – Tiga kakitangan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Daerah Tangkak direman selama lima hari selepas dipercayai terlibat dengan perbuatan salah laku menyalahguna kedudukan dengan membuat tuntutan palsu, dua tahun lalu.
Perintah reman sehingga Ahad yang dikeluarkan terhadap ketiga-tiga suspek dikeluarkan Majistret Nurkhalida Farhana Abu Bakar.
Seorang tertuduh yang bertugas sebagai Penolong Pegawai Kebajikan disyaki telah mengemukakan tuntutan palsu berjumlah RM2,000 kepada Pertubuhan Sukarelawan Kebajikan JKM Johor pada Mac 2021.
Menurut sumber, tuntutan tersebut dibuat suspek bagi penyediaan makanan dan minuman Program Bakul Makanan di bawah Inisiatif Pakej Khas Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (PERMAI).
Bagaimanapun, difahamkan bekalan makanan dan minuman bagi program itu tidak dibekalkan suspek.
Sementara itu, dua lagi suspek yang bertugas selaku Pembantu Pembangunan Masyarakat JKM Tangkak pula direman kerana telah mengemukakan tuntutan palsu sebanyak RM1,200 kepada JKM Daerah Tangkak pada Mac 2021.
Terdahulu, ketiga-tiga suspek yang berusia 43 tahun itu ditahan di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia SPRM Johor lewat malam tadi selepas hadir memberi keterangan.
Kesemua mereka kemudian dibawa ke pekarangan mahkamah antara pukul 9 pagi hingga 9.30 pagi hari ini dengan lengkap berpakaian lokap SPRM berwarna oren. – KOSMO! ONLINE