KUALA LUMPUR – Pelakon Edika Yusof mengakui rasa kurang senang apabila namanya turut terpalit dan menjadi bahan perbandingan ramai ketika kemelut rumah tangga selebriti lain hangat diperkatakan ketika ini.
Menurut Edika, 55, kebimbangan tersebut tercetus apabila usaha dan kesetiaan menjaga isteri yang lumpuh separuh badan ‘diagung-agungkan’ oleh netizen menyebabkan dia perlu lebih berjaga-jaga.
“Saya mahu berjaga-jaga bukan kerana netizen tetapi takut ada berita kurang enak sampai ke telinga isteri. Benda itu akan menyusahkan saya lagi.
“Contohnya jika saya berjalan dengan saudara perempuan tetapi orang lain salah tafsir. Disebabkan hal itu, saya keluar dengan lelaki sahaja,” katanya.
Sempat berkongsi tip rumah tangga, Edika turut menasihatkan agar semua pihak tidak berkongsi sebarang hal ‘dalam kain’ kepada umum terutama media sosial.
Katanya, perkara tersebut akan mengeruhkan lagi keadaan sedangkan masalah boleh diselesaikan dengan hanya berbincang secara bersemuka.
“Setiap yang berlaku dalam rumah tangga tidak sepatutnya dijaja dalam media sosial.
“Kalau ada masalah duduk berbincang. Saya juga pernah bergaduh dengan isteri terutama sekali mengenai anak,” ujarnya ketika ditemui pada sidang akhbar drama Projek: High Council di sini, semalam.
Sejak kebelakangan ini, nama Edika sering menjadi bualan hangat dan netizen meminta pengarah sensasi Syamsul Yusof belajar tentang kesetiaan daripada aktor itu.
Sekadar info, Edika dan isterinya, Hidayah mendirikan rumah tangga sekitar 2003 dan hasil perkahwinan, mereka dikurniakan tiga orang cahaya mata iaitu Nazirul Afiq, 23, Fardeen Nasrulhaq, 18, dan Fereena Nurulhaq, 17. – KOSMO! ONLINE