KOTA KINABALU – Ketua UMNO Sabah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lamag, Datuk Seri Bung Moktar Radin sah digugurkan daripada senarai Kabinet baharu kerajaan Sabah yang diumumkan sebentar tadi.
Bung Moktar sebelum ini memegang jawatan Timbalan Ketua Menteri dan Menteri Kerja Raya Sabah kini digantikan ADUN Tanjung Keramat, Datuk Ir Shahelmey Yahya kini dilantik sebagai Timbalan Ketua Menteri Sabah dan Menteri Kerja Raya Sabah baharu.
Shahelmy sebelum ini memegang jawatan Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah.
Selain itu, dua ADUN Pakatan Harapan (PH) Sabah antara menteri baharu yang mengangkat sumpah jawatan bagi portfolio masing-masing di Istana Seri Kinabalu, pagi ini.
ADUN Api-Api yang juga Pengerusi PH Sabah, Datuk Christina Liew memegang portfolio Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, manakala seorang lagi ADUN Luyang, Phoong Jin Zhe dilantik selaku Menteri Pembangunan Perindustrian.
Sementara itu, terdapat beberapa menteri sedia ada dalam Kabinet Sabah kini bertukar portfolio.
Antaramya adalah, Timbalan Ketua Menteri II, Datuk Dr Joachim Gunsalam kini memegang portfolio Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan manakala penyandangnya, Datuk Seri Masidi Manjun kini memegang portfolio Menteri Kewangan Negeri.
Sementara itu, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor menerusi kenyataan berkata, rombakan Kabinet adalah sesuatu yang perlu dan bertujuan mengukuhkan kerajaan negeri sekarang. – KOSMO! ONLINE