Oleh MOHAMAD FAIZAL HASHIM
JOHOR BAHRU – Polis menahan seramai 31 individu yang sedang leka berseronok pada parti liar dalam dua serbuan di dua buah rumah di kawasan Medini Utara, Iskandar Puteri, kelmarin.
Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukhtar berkata, kesemua yang ditahan terdiri daripada 18 lelaki dan 13 wanita berusia lingkungan 18 hingga 30 tahun.
Beliau berkata, dalam serbuan pertama kira-kira pukul 7.30 malam, sepasukan polis daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri telah membuat serbuan di sebuah rumah di kawasan Medini Utara.
Katanya, hasil serbuan tersebut pihak polis telah berjaya menahan seramai 21 individu membabitkan 11 lelaki dan 10 wanita warga tempatan.
“Serbuan kedua turut diadakan di kawasan perumahan di Medini Utara yang sama kira-kira pada pukul 8.30 malam.
“Semasa serbuan tersebut dijalankan pihak polis telah berjaya menahan seramai 10 orang lagi suspek yang terdiri daripada tujuh lelaki dan tiga wanita warga tempatan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dzulkhairi berkata, susulan serbuan yang dibuat, polis turut merampas dua buat lampu strobe dan dua buah pembesar suara.
“Hasil ujian saringan air kencing terhadap kesemua suspek tersebut didapati positif dadah jenis Methamphetamine, Ketamin dan THC.
“Kesemua suspek ditangkap kerana melanggar Peraturan 11 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020 dalam tempoh Fasa Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara,” ujarnya.
Kes disiasat di bawah Sek. 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020.-K! ONLINE