SHAH ALAM – Tiga individu dalam sebuah kereta menjadi ‘popular’ sekelip mata apabila kenderaan dinaiki culas membayar tol di Lebuhraya Kemuning-Shah Alam (LKSA).
Ini selepas video berdurasi 15 saat tular di media sosial memaparkan aksi kereta dipercayai mengikut rapat kenderaan di hadapannya bagi melepasi palang tol.
Kejadian itu dipercayai berlaku pada Ahad lalu dan dirakam oleh salah seorang pengguna lebuh raya tersebut.
Menerusi hantaran dimuat turun oleh seorang pengguna di Facebook itu memberitahu kadar tol di lokasi tersebut adalah hanya RM1.56 sen.
“Kejadian di Seksyen 24 Shah Alam menghala Kota Kemuning.
“Dalam kereta ada tiga makhluk Tuhan tapi tak mampu nak bayar,” katanya sambil memaklumkan nombor plat kenderaan itu.
Hantaran itu mendapat maklum balas daripada pengguna lain yang menyatakan ketiga-tiga individu tersebut menjadi terkenal dalam sekelip mata.
“Seringgit punya pasal popular satu nusantara,” kata Azhar Mohd. Yusop.
Sementara itu, pengguna lain dikenali Kak Ros menaruh keyakinan mereka akan dapat dijejaki nanti.
“N plat ada,senang je nak cari..kereta baru ni,” jelasnya. – KOSMO!ONLINE