PETALING JAYA – “Puteri Sarah Liyana ditinggalkan terkapai-kapai menguruskan anak-anak yang sedang membesar. Adilkah semua ini?”
Demikian respons ibu kepada pengarah Syamsul Yusof, Datin Fatimah Ismail selepas menantunya yang juga aktres Puteri Sarah meminta cerai daripada suaminya dalam satu hantaran Instagram hari ini.
Menurut isteri kepada pengarah tersohor, Datuk Yusof Haslam, menantunya berhak mendapatkan kebahagiaan sendiri sebagai ibu yang telah berkorban demi dua anaknya.
“Puteri Sarah berhak untuk bahagia sebagai isteri dan ibu yang melahirkan Syaikhul dan Sumayyah, pengorbanannya langsung tidak dihargai.
“Kebahagiannya telah dirampas dengan kejam oleh mereka (Ira Kazar dan Syamsul),” katanya.
Terdahulu, Puteri Sarah atau nama penuhnya Puteru Sarah Liyana Megat Kamaruddin, 38, memohon Syamsul menceraikannya kerana tidak rela dimadukan.
Sebelum ini, Fatimah lantang menyuarakan kekecewaannya selepas Syamsul, 39, mengaku telah mengahwini Ira berwalikan bapa kandung, Kazar pada 6 Januari lalu di Thailand.
Kata Fatimah, dia tidak menerima Ira sebagai menantunya termasuk mengakui Kazar sebagai besan.
Hari ini Syamsul juga menerusi hantaran Instagram mengharapkan kedua-dua isterinya bertenang dan banyakkan bersabar.
Sekadar info, kemelut rumah tangga pasangan sensasi ini sudah berlarutan sejak dua tahun lalu selepas Puteri Sarah mendedahkan hidupnya diganggu oleh Ira Kazar. -KOSMO! ONLINE