LONDON – Bekas pelumba McLaren, Daniel Ricciardo mengakui sangat gembira kerana tidak mendapat sebarang peluang untuk kekal bersaing dalam perlumbaan F1 musim baharu nanti.
Selepas melalui musim kedua bersama McLaren tahun lalu dengan aksi kurang memberangsangkan, pasukan berkenaan membuat keputusan untuk menamatkan kontraknya yang berbaki semusim lagi dengan membawa masuk Oscar Piastri.
Bagaimanapun, Ricciardo masih kekal dalam radar F1 apabila menandatangani kontrak sebagai pelumba simpanan bersama Red Bull Racing yang sedikit mengurangkan beban dan tekanannya.
Ekoran berdepan kesukaran ketika bersama McLaren musim lalu, Ricciardo mengakui ia adalah masa yang sesuai untuk dia berehat seketika selain tidak ada tawaran daripada pasukan-pasukan utama yang boleh menyebabkan dia sukar menolaknya memberikan kelegaan.
“Ada beberapa kali dikaitkan dengan Ferrari, tetapi saya hampir kembali ke litar musim ini dengan tawaran daripada Guenther (Steiner, Ketua Pasukan Haas) seperti yang diperkatakan.
“Ia bukanlah mengenai jumlah panggilan telefon yang saya terima (memberikan tawaran), tetapi ia mengenai bagaimana saya sedar bahawa saya kekal dengan pendirian untuk tidak bersaing pada musim 2023.
“Jadi, saya gembira tidak ada tawaran daripada pasukan besar yang membuatkan saya sukar menolaknya sedangkan hakikatnya saya belum bersedia.
“Anda boleh menyebutnya sebagai kepenatan dan saya tidak takut untuk mengakuinya atau mengatakannya. Setiap orang pastinya mempunyai pandangan, namun secara peribadi saya hanya mengikut apa yang saya rasakan, saya tahu apa yang saya inginkan,” jelasnya. – AGENSI