PENYANYI kumpulan GOT7, BamBam mendedahkan punca dan alasan mengapa dia tidak mahu berkahwin.
Perkara tersebut didedahkan dalam program Master In The House 2 yang sedang membincangkan topik sama ada seseorang itu akan berkahwin atau meneruskan kehidupan bujang.
BamBam atau nama sebenarnya Kunpimook Bhuwakul menyatakan dia tidak akan berkahwin kerana lebih selesa hidup bersendirian.
“Sejak menjadi artis, saya tiada masa lapang untuk diluangkan dan sering berada di hotel bersama ahli lain.
“Disebabkan itu, saya tidak mahu kehidupan ‘dirampas’ oleh orang lain.
“Maksudnya, saya lebih gembira hidup bersendiri dan tidak mahu menyusahkan kehidupan sekarang bersama orang lain,” ujarnya.
Bahkan, melihat kehidupan abangnya yang sudah berkahwin menguatkan lagi alasan untuk dia terus membujang.
“Abang saya sudah berkahwin dan gembira bersama seorang anak lelaki yang kini berusia tiga tahun.
“Namun, beberapa bulan lalu dia mengunjungi saya di Korea buat pertama kali bersama anaknya dan apabila melihat raut wajahnya, saya kasihan,” luahnya yang takut dengan kehidupan berumah tangga.