fbpx

Beg Cikgu Musthafa muncul selepas tiga hari hilang di Mekah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Cikgu Musthafa bersama anaknya, Muaz ketika berangkat ke Tanah Suci Disember lalu.

PETALING JAYA – Hampir sebulan berlalu, nasib Musthafa Kamal Abdullah, 49, atau lebih mesra disapa Cikgu Musthafa yang dilaporkan hilang di Mekah ketika mengerjakan umrah masih belum diketahui keluarganya sehingga kini.

Kehilangan guru agama tersebut menjadi satu misteri dan pelbagai persoalan mula timbul.

Menurut seorang mutawwif, Mansor Khalid, beg milik Cikgu Musthafa dijumpai di kaunter penyambut tetamu selepas tiga hari kehilangannya dilaporkan.

Katanya lagi, sebelum itu terdapat seorang mutawwif lain bertemu dengannya dan memaklumkan dia melihat seorang individu Arab memegang beg Cikgu Musthafa, namun apabila diminta individu berkenaan tidak memberi kepadanya.

“Beg dia (Cikgu Musthafa) dijumpa di bawah barang lost and found (hilang dan jumpa) dan diletakkan di kaunter penyambut tetamu selepas tiga hari, tetapi segala duit dan barangan dalam beg tidak ada.

“Tapi pihak hotel sendiri tidak tahu keberadaan Cikgu Musthafa, dan barangnya dijumpa di merata tempat,” katanya dalam program Malaysia Hari Ini.

Sementara itu, anaknya, Muhammad Nabil, 26, berkata, dia masih belum dapat menyelesaikan misteri kehilangan bapanya itu memandangkan Cikgu Musthafa seorang yang fasih berbahasa Arab dan pastinya beliau mampu berkomunikasi dengan penduduk dan jemaah di sana.

“Ayah memang orang lama, dan para mutawwif juga tidak risau apabila ayah tidak ada di bilik hotel pada awalnya. Paling lama pun kami fikir ayah akan pulang semula selepas dua hari,” ujarnya.

Dalam pada itu, dia dan keluarga berharap pihak Kementerian Luar Negeri (Wisma Putra) dapat bekerjasama dengan kerajaan Arab Saudi untuk mengesan bapanya yang hilang.

“Kami sekeluarga sangat berharap ayah segera ditemui dan sentiasa dalam keadaan selamat. Kami sangat bimbangkan keadaannya di sana,” katanya.

Terdahulu, Cikgu Musthafa berangkat ke Tanah Suci bersama seorang lagi anaknya yang dikenali sebagai Muaz, 17, pada 6 Disember lalu dan dijadual pulang ke tanah air pada 18 Disember.

Bagaimanapun, kata Muhammad Nabil, bapanya dilaporkan hilang pada 12 Disember selepas Muaz menyedari dia tiada di bilik hotel mereka di Mekah. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI