SHAH ALAM – Tindakan seorang bekas pengurus kanan syarikat pembinaan gagal melaporkan tawaran dan pemberian rasuah berjumlah RM225,700 dan komisen bulanan 50 sen meter per kuib mendapat balasan setimpal apabila didenda RM222,000 oleh Mahkamah Sesyen hari ini.
Rasuah itu adalah untuk tidak memberikan laporan prestasi kerja tidak baik kepada dua buah syarikat.
Hakim Rozilah Salleh menjatuhi hukuman itu selepas tertuduh, Chua Shiou Meng, 51, mengaku bersalah atas empat pertuduhan pilihan.
Tertuduh juga diperintahkan menjalani tambahan penjara sehingga 22 bulan sekiranya gagal membayar denda tersebut. Shiou Meng membayarnya.
Wang jaminan dan pasport turut dikembalikan semula kepada tertuduh.
Rozilah dalam penghakimannya menasihatkan supaya tertuduh insaf dan berjanji dan berazam tidak mengulangi kesalahan rasuah dan jenayah lain.
Mengikut tiga pertuduhan, bapa kepada dua anak itu telah ditawarkan dan diberikan suapan berjumlah RM225,700 daripada tiga lelaki berusia 42 hingga 55 tahun yang dimasukkan ke dalam akaun bank milik tertuduh dan isterinya.
Selain itu, tertuduh juga didakwa telah ditawarkan suapan iaitu komisen 50sen per meter kuib setiap bulan.
Kesemua itu sebagai dorongan agar tidak memberikan laporan prestasi kerja yang kurang baik dan boleh menyebabkan kontrak dua buah syarikat.
Justeru, dia telah gagal melaporkan pemberian suapan tersebut kepada pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atau pegawai polis.
Kesalahan itu dilakukan di dua buah restoran dan cawangan bank di Bandar Puchong Jaya serta Bukit Jalil dekat sini antara Januari 2017 hingga Januari 2019. -KOSMO!ONLINE