BAGAN SERAI – Sebuah bot pukat tunda serta tiga nelayan warga Myanmar ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) di kedudukan 11.4 batu nautika barat Kuala Terung, Kuala Kurau di sini kira-kira pukul 3 petang semalam.
Pengarah Zon Maritim Kuala Kurau, Komander Maritim Mohd. Najhan Azman Hamid berkata, hasil pemeriksaan menemui seramai tiga nelayan warga Myanmar termasuk tekong berumur antara 26 hingga 30 tahun berada di atas bot.
“Pemeriksaan lanjut ke atas dokumen mendapati bot mempunyai lesen dan tekong memiliki pengenalan diri yang sah, namun dua kru yang lain gagal mengemukakan sebarang dokumen ketika diminta penguat kuasa,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Bagaimanapun, beliau berkata, tekong tersebut telah melakukan kesalahan kerana pemilik tidak mengusahakan sendiri bot itu selain tiada kebenaran menggajikan nelayan warga asing daripada Ketua Pengarah Perikanan Malaysia.
Katanya, tekong dan kesemua nelayan bersama bot, peralatan menangkap ikan dan hasil ikan baja seberat 50 kilogram dirampas serta dibawa ke Jeti Zon Maritim Kuala Kurau untuk tindakan lanjut.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tinggal di Malaysia tanpa dokumen pengenalan diri yang sah.
“Ia juga disiasat di bawahSeksyen 8(b) Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat sah lesen iaitu bot tidak diusahakan sendiri oleh pemiliknya serta tiada kebenaran penggunaan kru warga asing,” katanya. – KOSMO! ONLINE