KUALA TERENGGANU – Seorang bayi berusia empat bulan koma disyaki akibat kecuaian pengasuh di sebuah taska di sini pada minggu lalu.
Ketua Polis Terengganu, Datuk Rohaimi Md. Isa berkata, kejadian itu berlaku pada hari ketiga bayi lelaki tersebut baru dihantar untuk diasuh ke taska berkenaan.
“Bapa mangsa yang merupakan seorang doktor mengesyaki sesuatu tidak kena apabila bayinya berada dalam keadaan lemah sewaktu mengambilnya pulang dari taska berkenaan pada 4 Januari lalu.
“Sebaik dirujuk ke hospital, bayi tersebut didapati mengalami pendarahan dalam kepala. Dia kemudiannya tidak sedarkan diri sebelum koma selepas itu,” katanya di sini hari ini.
Rohaimi memberitahu, bapa mangsa kemudiannya membuat laporan polis yang membawa kepada penahanan tiga wanita yang merupakan pengasuh taksa berkenaan.
Jelas beliau, pada mulanya, kesemua suspek berusia dalam lingkungan 20-an hingga 30-an tidak mengaku berlakunya kecuaian yang mengakibatkan kecederaan mangsa.
“Begitupun, semakan rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) di dalam taska menunjukkan sebaliknya,” katanya. – KOSMO! ONLINE