fbpx

Tunda sebab hal keluarga, Taufiq Hanafi kahwin tahun ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SEBELUM ini, hasrat Taufiq Hanafi untuk berkahwin terpaksa ditunda kerana statusnya sebagai anak sulung dan memberi laluan untuk adik-beradiknya stabil dari segi kerjaya terlebih dahulu.

PETALING JAYA – “Insya-Allah, saya akan kahwin tahun ini.”

Demikian pengakuan pelakon Taufiq Hanafi yang bakal menamatkan zaman bujang dengan pasangan pilihan hatinya, Farah Azrina pada tahun ini.

Ujar pelakon filem Paskal itu, jika mengikut perancangan awal, majlis pernikahannya sepatutnya dibuat lebih awal, namun terpaksa ditunda atas sebab-sebab berkaitan dengan keluarga.

Malah, kerana menggalas tanggungjawab sebagai anak sulung, dia terpaksa menunda hasrat mendirikan rumah tangga untuk memberi laluan kepada adik-adiknya untuk membina kerjaya stabil terlebih dahulu.

“Alhamdulillah semuanya berjalan dengan lancar buat masa ini. Sebelum ini, saya cakap hasrat nak kahwin ditunda sebab berkaitan keluarga yang tidak boleh dilelakkan.

“Saya ada adik-beradik yang baru nak bina karier masing-masing. Saya anak sulung dalam keluarga, jadi kena utamakan keluarga.

“Mujurlah tunang saya dan keluarganya faham. Insya-Allah, tahun ini memang akan berlangsung (perkahwinan). Cuma tarikh saya akan umumkan kemudian,” katanya.

Ketika disoal tentang cabaran yang dihadapi sepanjang tempoh bertunang, Taufiq bersyukur kerana hubungan mereka baik-baik sahaja dan tiada ujian besar yang ditempuhi.

“Cabaran, saya tiada ujian yang besar. Alhamdulillah saya dapat seseorang (tunang) yang sangat memahami, keluarga bakal mentua juga sangat memahami. Apa-apa yang saya buat mereka sokong.

“Setakat ini, boleh saya katakan tiada cabaran atau dugaan yang besar. Apa pun yang terjadi sebenarnya pilihan sendiri,” ujar Taufiq ketika ditemui pada Majlis Makan Malam Multimedia sempena Tahun Baharu Cina di Nexus Bangsar, baru-baru ini.

Terdahulu, Taufiq sah bergelar tunang kepada kekasihnya, Farah Azrina, 28, dalam sebuah majlis yang berlangsung pada 20 Februari tahun lalu.

Majlis pertunangan antara Taufiq dan Farah berlangsung di kediaman keluarga wanita itu di Rawang dan dihadiri keluarga daripada kedua-dua belah pihak. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI