Oleh MOHD. HUSNI MOHD. NOOR
PUTRAJAYA – Tiga hari lalu, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) menerima kecaman hebat daripada netizen di media sosial gara-gara pantun empat kerat yang kononnya bermaksud memperlekehkan golongan wanita.
Ketua Pengarahnya, Datuk Haji Abang Sallehuddin Abang Shokeran semalam tampil memberi penjelasan mengenai pantun berkenaan dan pemaknaan sebenar pantun kontoversi itu.
Beliau berkata, menerusi pantun berkenaan, dua baris terakhir adalah bahagian maksud pantun yang makna literalnya ialah ‘tidak guna kita mempunyai isteri yang cantik jika dia tidak pandai menumbuk sambal’.
Menurutnya, pantun itu memberi nasihat bahawa seseorang yang hendak berumah tangga perlulah melengkapkan dirinya dengan berbagai-bagai kemahiran.
“Kemahiran ini termasuk kepandaian memasak, menjahit, mengurus rumah tangga dan kepandaian mencari rezeki. Dengan kepandaian asas ini barulah rumah tangga yang dibina itu kekal bahagia.
“Dengan perkataan lain, jika hendak kekal bahagia dalam berumah tangga tidaklah cukup dengan kecantikan fizikal, tetapi perlu dilengkapkan dengan kepandaian hidup yang lain
“Frasa ‘tidak guna beristeri cantik’, ‘kalau tak pandai menumbuk sambal’ dalam pantun itu sekadar menjadi kiasan atau gambaran untuk menyampaikan makna sebenar,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Abang Sallehuddin berkata, frasa itu bukan memberi makna tentang isteri yang tidak pandai menumbuk sambal atau tidak pandai memasak semata-mata sebaliknya, ia contoh atau gambaran yang dipilih untuk mewakili keseluruhan keperluan berumah tangga bagi setiap pasangan.
Beliau berkata, sebenarnya pantun itu tidak mengkhususkan kepada wanita semata-mata sebaliknya secara tersirat memberikan nasihat kepada lelaki yang hendak berumah tangga agar bersama-sama memiliki kemahiran asas.
“Lelaki juga tidak boleh bergantung kepada kecantikan fizikal, tetapi mereka juga perlu memiliki kemahiran memimpin, kepandaian ilmu agama dan kemahiran mencari rezeki.
“Cuma dalam pantun di atas, pengarangnya memilih objek wanita atau isteri sebagai contoh atau gambaran. Perkara ini sesungguhnya tidak bertujuan untuk mengaibkan atau menjatuhkan martabat wanita,” katanya.
Katanya, setiap orang boleh berbeza tafsiran, tetapi perlu diingat, ketika pengarang pantun dahulu mencipta pantun, mereka sangat mengutamakan hal-hal yang sensitif untuk menjaga perasaan orang lain. -K! ONLINE