HULU SELANGOR – Seorang remaja lelaki meninggal dunia setelah motosikal yang ditungganginya bergesel dengan satu lagi motosikal sebelum dilanggar sebuah kereta di Kilometer (KM) 1 Jalan Sungai Tua – Ulu Yam Bharu, Kuala Kubu Bharu, di sini, tengah hari tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 12.40 tengah hari itu, remaja lelaki berusia 16 tahun menunggang sebuah motosikal jenis SM Sport terlibat nahas sebuah kereta jenis Toyota yang dipandu seorang warga emas berusia 63 tahun.
Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Suffian Abdullah berkata, kemalangan dipercayai berlaku ketika mangsa dari Pekan Ulu Yam Bharu menghala ke Batang Kali.
“Hasil siasatan awal mendapati, motosikal mangsa bergesel dengan sebuah motosikal jenis Yamaha 135LC yang berada di hadapannya.
“Mangsa kemudiannya terjatuh di lorong bertentangan dan dilanggar oleh kereta dari arah bertentangan,” jelasnya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Suffian, mangsa telah disahkan meninggal dunia ditempat kejadian akibat kecederaan parah pada bahagian kepala.
“Mayat mangsa dibawa ke Hospital Kuala Kubu Bharu untuk bedah siasat.
“Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,”jelasnya.
Sehubungan itu, pihak polis meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat tampil membuat laporan bagi membantu siasatan. – KOSMO! ONLINE.