KOTA KINABALU – Pertemuan wakil rakyat Gabungan Rakyat Sabah (GRS), UMNO dan Pakatan Harapan (PH) di kediaman rasmi Ketua Menteri, Seri Gaya, hari ini, tiada kaitan dengan kemelut politik sedang melanda Sabah ketika ini.
Setiausaha Agung Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Masidi Manjun berkata, perjumpaan berkenaan adalah bagi membincangkan persediaan Sidang Khas Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah yang dijangka berlangsung esok.
“Kita berharap semua wakil rakyat bersikap matang. Datang ke DUN untuk menunaikan tanggungjawab sebagai pemimpin bagi meluluskan dua RUU yang akan dibentangkan esok.
“RUU berkenaan penting berkaitan autonomi Sabah untuk mengurus sendiri hal ehwal gas yang sebelum ini di bawah Suruhanjaya Tenaga (ST) persekutuan dan PETRONAS. Perkara ini hasil rundingan kerajaan negeri berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63),” katanya hari ini.
Terdahulu, seramai 44 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang menyokong Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berkumpul di Sri Gaya, petang ini, bagi membincangkan persediaan Persidangan Khas DUN yang diadakan esok.
Semua ADUN terbabit terdiri daripada 29 mewakili Gabungan Rakyat Sabah (GRS), diikuti tujuh Adun Pakatan Harapan (PH) Sabah, UMNO (lima) dan masing-masing seorang Adun Parti Harapan Rakyat Sabah (PHRS), Pas dan Bebas. – KOSMO! ONLINE