KUALA LUMPUR – Nestle (M) Bhd. (Nestle) telah menyalurkan sehingga RM5 juta untuk membantu 15,000 pengendali makanan dan minuman (F&B) tempatan bagi meneruskan perniagaan ketika berdepan persekitaran ekonomi sukar kini.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Juan Aranols berkata, agihan sumbangan tersebut dilaksanakan melalui kempen Bangkit Bersama anjuran syarikat sebagai sebahagian daripada usahanya membantu golongan terkesan akibat pandemik Covid-19.
Menurut beliau, melalui kempen yang diterajui oleh Nestle Profesional, pihaknya telah melancarkan beberapa inisiatif termasuk program bantuan perniagaan dan sumbangan wang tunai untuk membantu kedai kopi, kedai mamak serta kedai makan dan restoran.
Syarikat turut memberi sumbangan kepada persatuan perniagaan tempatan menerusi derma tunai, makanan dan bekalan lain seperti pelitup muka percuma untuk diagihkan kepada ahli-ahli mereka.
“Antara perniagaan tempatan yang menerima sokongan sepanjang kempen ini adalah Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia, Persatuan Pengusaha Restoran India Malaysia, Persatuan Am Pemilik Kedai Kopi Malaysia Singapura (MSCSPGA) serta Persatuan Hotel-Hotel Malaysia,” ujarnya.
Selain itu, Nestle juga akan membantu pengendali F&B bersaiz kecil dan sederhana untuk meneroka peluang komersial baharu dan melancarkan penyelesaian teknikal baharu yang menyokong proses pendigitalan bagi segmen pelanggan.