fbpx

Pemuda lumpuh 21 tahun perlukan kerusi roda

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
holijah berada di sisi anaknya, Mohamad Hafizi yang terlantar selama 21 tahun akibat kemalangan di rumah mereka di Kampung Kepala Parit Luar, Alor Setar.

PETALING JAYA – Mohamad Hafizi Hassan yang tinggal di Kampung Kepala Parit Luar, Alor Setar ketika remajanya adalah seorang pelajar yang aktif dalam sukan bola sepak, hoki dan silat.

Bagaimanapun, nasib pemuda itu yang kini berusia 36 tahun berubah sekelip mata apabila dia terlibat dalam satu kemalangan jalan raya yang tidak jauh dari rumahnya ketika berusia 15 tahun.

Sehingga kini, kehidupan anak bongsu daripada empat beradik ini terpaksa bergantung kepada ibu bapanya, Hassan Taib, 76, dan Holijah Abu Seman, 77.

“Kemalangan berlaku semasa saya mahu mengambil anak saudara pulang dari sekolah. Tiba-tiba ada sebuah kereta dari hadapan potong kenderaan lain dan masuk ke laluan saya, menyebabkan saya tercampak ke tepi jalan.

“Saya koma seminggu. Doktor tebuk dada untuk buang darah beku pada paru-paru selain putus saraf tujang, mengakibatkan saya lumpuh separuh badan,” katanya ketika dihubungi Kosmo!.

Menurutnya, keadaan kini semakin sukar apabila ibu bapa­nya tidak lagi bekerja atas faktor umur dan kesihatan.

“Adik-beradik lain bukan tidak membantu, tetapi pendapatan mereka pun cukup-cukup untuk sara keluarga sendiri,” ujarnya.

Katanya, mereka ada mene­rima bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM500 sebulan, namun jumlah itu tidak mencukupi berikut kos perubatan tinggi.

“Setiap bulan saya perlukan ubat kerana ada luka di belakang akibat terbaring terlalu lama.

“Saya juga perlukan susu khas, lampin pakai buang dan kain lapik, belum masuk kos ulang-alik ke hospital lagi,” ujarnya.

Dia turut mengimpikan untuk memiliki sebuah kerusi roda elek­trik berharga kira-kira RM4,800 bagi meringankan beban ibu bapanya dalam menguruskan dirinya.

Bagi orang ramai yang ingin membuat sumbangan, boleh menyalurkannya ke akaun Bank Simpanan Nasional bernombor 02131-41-00003493-8 atas nama Mohamad Hafizi Hassan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI