fbpx

36,000 permohonan jadi warganegara sedang diproses – Saifuddin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Saifuddin ketika bercakap pasa sidang akhbar di JPN Putrajaya di sini, hari ini. - Foto FAISOL MUSTAFA

PUTRAJAYA – Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) menerima sebanyak 54,000 permohonan bagi mendapatkan taraf kewarganegaraan Malaysia bagi tempoh 2017 hingga 2022.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, daripada jumlah itu, 7,000 permohonan sudah diluluskan manakala, 36,000 lagi sedang diproses.

Beliau berkata, baki 11,000 lagi permohonan terpaksa ditolak dan dibatalkan atas pelbagai sebab.

“Terdapat beberapa kategori permohonan termasuk di bawah Perkara 15A (Kanak-kanak di bawah umur 21 tahun dalam keadaan khas), Perkara 16 (Orang yang dilahirkan di Persekutuan sebelum Hari Merdeka) dan Perkara 19/1 (Naturalisasi),”katanya pada sidang akhbar selepas menyampaikan Surat Keputusan Permohonan Kewarganegaraan di sini, hari ini.

Terdahulu, Saifuddin menyampaikan surat keputusan permohonan kewarganegaraan kepada 28 penerima di Ibu Pejabat JPN, di sini hari ini.

Katanya, pihaknya akan berusaha sebaik mungkin meneliti kesemua permohonan itu dan akan diberikan keutamaan sewajarnya, namun tidak sesekali berkompromi dalam aspek keselamatan.

“Ia adalah proses yang berterusan dan kami akan memastikan ia dilakukan berdasarkan peruntukan undang-undang sama ada perlu merujuk Perlembagaan atau peraturan sedia ada.

“Sejak mengemudi kementerian ini, saya bertekad untuk memudah cara proses permohonan kewarganegaraan termasuk mempercepatkan prosesnya,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI