fbpx

Mohd. Na’im bincang isu kuota haji dengan menteri Arab Saudi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd. Naim ketika sesi pertemuan dengan Tawfiq Fawzan Al-Rabiah di Jeddah, Arab Saudi, hari ini. - Foto IHSAN TABUNG HAJI

PUTRAJAYA – Kerajaan Arab Saudi sudah dimaklumkan mengenai hasrat Malaysia berhubung pengembalian semula kuota rasmi jemaah haji Malaysia untuk musim ibadah kali ini.

Perkara itu disuarakan sendiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar pada satu persidangan di Jeddah, Arab Saudi, hari ini.

Menurut hantaran Lembaga Tabung Haji menerusi laman sosial rasmi agensi berkenaan, beliau telah pun bertemu Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi, Dr. Tawfiq Fawzan Al-Rabiah.

“Alhamdulillah, Senator dan pengurusan Tabung Haji yang kini dalam lawatan kerja ke negara itu sudah pun membincangkan isu urusan ibadat haji musim 1444 Hijrah,” katanya.

Persidangan Perkhidmatan Haji dan Umrah 2023 yang bermula pada hari ini sehingga 15 Januari nanti turut dihadiri ramai delegasi asing untuk ‘melobi’ kuota haji baharu musim ini.

Ia susulan tindakan Arab Saudi tahun lalu mengehadkan kuota semua negara luar kepada hanya 45 peratus daripada jumlah sebelum itu susulan kebimbangan penularan Covid-19.

Langkah tegas itu menyaksikan cuma sejuta jemaah berbanding sebelum pandemik yang merekodkan lebih 2.5 juta orang dengan larangan untuk individu berusia 65 tahun ke atas.

Malaysia tahun lepas memperoleh kuota 14,306 jemaah daripada asalnya 31,600 orang yang ditetapkan tiga tahun lalu sebelum pintu sempadan Arab Saudi ditutup pada awal 2020.

Mengulas lanjut, Tabung Haji berkata, antara topik yang dibincangkan oleh Mohd. Naim ialah mengenai jumlah asal kuota rasmi jemaah haji Malaysia setelah dipotong lebih separuh.

“Demi memastikan pengurusan haji Malaysia kekal terbaik, rombongan ini turut memohon agar segala kos yang melibatkan urusan haji akan dapat dimaklum lebih awal,” tambahnya.

Ketika ini, pendeposit Tabung Haji yang mendaftarkan ibadah fardu tersebut menerima giliran untuk tempoh 115 tahun akan datang susulan kekangan kuota ditetap oleh Arab Saudi.

Situasi itu menyebabkan ada bakal jemaah yang terdesak kerana faktor usia tua, sanggup memohon visa haji furada dengan ada menjadi mangsa penipuan oleh pihak agensi tertentu.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI