PETALING JAYA- Seorang lelaki warga tempatan meninggal dunia setelah motosikal yang ditungganginya hilang kawalan sebelum tercampak ke atas jalan di Kilometer (KM) 13.6 Lebuh Raya Damansara Puchong, di sini, semalam.
Timbalan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Superintendan Ku Mashariman Ku Mahmood berkata, pihaknya menerima laporan kemalangan melibatkan motosikal jenis Yamaha 135LC sekitar pukul 9.54 pagi.
“Siasatan awal mendapati mangsa berusia 35 tahun itu gagal mengawal motosikalnya sehingga menyebabkan mangsa tercampak ke atas jalan. Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dan telah dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk bedah siasat,” jelasnya dalam kenyataan, hari ini.
Menurutnya, siasatan lanjut masih dijalankan untuk mengenal pasti punca kejadian dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Orang awam yang mempunyai sebarang maklumat kejadian, boleh tampil ke balai berhampiran atau berhubung terus dengan Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Mohammad Khairil Helmi Mohammad Isa di talian 019-3318339 bagi membantu siasatan. -KOSMO! ONLINE.