PUTRAJAYA – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang kini berada di Indonesia bagi lawatan kerja selama dua hari bermula semalam, menerima sambutan rasmi di Istana Bogor, Jawa Barat, hari ini.
Ketibaan beliau yang disambut oleh Presiden Joko Widodo pagi tadi kemudiannya disusuli dengan 19 bedilan meriam yang diiringi lagu Negaraku dan Indonesia Raya.
Perdana Menteri kemudiannya diberi penghormatan untuk memeriksa barisan kawalan kehormat yang terdiri daripada anggota pasukan keselamatan Presiden sebelum diperkenalkan kepada barisan Kabinet juga pegawai-pegawai utama Indonesia.
Anwar yang lengkap bersongkok kemudiannya memperkenalkan delegasi Malaysia yang turut serta pada upacara tersebut sebelum meneruskan acara dengan menanam pokok Merawan (Hopea odorata) di pekarangan istana.
Kedua-dua pemimpin negara itu kemudiannya menaiki ‘buggy’ dipandu sendiri oleh Jokowi mengelilingi Kebun Raya Bogor yang seluas 87 hektar dengan kira-kira 15,000 spesies tumbuhan.
Difahamkan, usia Kebun Raya Bogor sudah mencecah 205 tahun dan menjadikannya sebagai taman botanik tertua di dunia.
Selesai mengelilingi Kebun Raya Bogor, Jokowi dan Anwar seterusnya mengadakan ‘pertemuan tatap muka’ dalam sesi bersembang di beranda Istana Bogor yang turut dikenali sebagai Veranda Talk bersama Perdana Menteri.
Sesi tersebut kemudiannya disusuli dengan kedua-dua pemimpin menyaksikan penyerahan surat niat (LOI) bagi penyertaan syarikat Malaysia dalam projek Ibu Kota Nusantara (IKN) oleh Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz kepada Pengerusi Pihak Berkuasa IKN, Bambang Susantono. – KOSMO! ONLINE