fbpx

[VIDEO] Tukar laluan secara mengejut punca kemalangan maut

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Shahren (kanan) dan Zainab.

BAGAN SERAI – Tindakan seorang doktor yang menukar haluan kenderaan dipandunya dipercayai menyebabkan kematian pasangan ibu dan anak di Kampung Kedai Dua, Semanggol di sini, semalam.

Kejadian malam itu menyebabkan seorang peniaga sate, Shahren Ismail, 37, bersama ibunya, Zainab Alias, 64, maut di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Juna Yusoff berkata, siasatan awal mendapati, kereta jenis Toyota Yaris yang dipandu seorang doktor berusia 28 tahun telah masuk secara tiba-tiba ke laluan lori dinaiki kedua-dua mangsa.

“Siasatan awal di tempat kejadian mendapati kereta jenis Toyota Yaris yang dipandu oleh seorang doktor telah masuk ke dalam laluan sah lori tersebut. Lori itu dari arah Semanggol.

“Akibat dari kemalangan itu, kedua-dua beranak itu telah tersepit di tempat duduk kenderaan dan disahkan maut di tempat kejadian oleh pegawai perubatan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurut Juna, pemandu kereta yang dipercayai bertugas di Hospital Taiping itu hanya mengalami kecederaan ringan dengan luka di dada, tangan serta kaki kanan.

“Bedah siasat ke atas kedua-dua mangsa yang maut telah dilakukan pada sekitar pukul 12.30 tengah malam tadi.

“Hasil dari bedah siasat mendapati punca kemalangan adalah disebabkan kedua-dua mangsa mengalami kecederaan parah impak dari kemalangan tersebut,” katanya.

Ujarnya, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, jenazah dua beranak tersebut disolatkan di Masjid Larut Tin pada pada pukul 11 pagi tadi sebelum dibawa ke Tanah Perkuburan Islam Masjid Al Islah, Pengkalan Aur di sini, untuk dikebumikan. – KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI