PETALING JAYA – Harga bahan binaan seperti simen, batu bata dan dinding, bahan paip serta cat menunjukkan peningkatan pada Disember lalu berbanding bulan sebelumnya, menurut Jabatan Perangkaan, hari ini.
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, indeks harga seunit simen meningkat 1.5 peratus pada Disember 2022 berbanding November 2022 untuk mencatatkan peningkatan selama dua bulan berturut-turut.
Jelasnya, purata harga simen (Ordinary Portland) mencatatkan sedikit peningkatan iaitu sebanyak 0.3 peratus pada RM20.95/50 kilogram (kg) berbanding RM20.88/50 kg pada November.
“Arang batu merupakan sumber tenaga utama dalam proses pembakaran untuk penghasilan simen, jadi kenaikan harga arang batu menjadi salah satu punca kenaikan harga bahan ini.
“Menurut International Energy Agency dalam laporan Coal Market 2022, pasaran arang batu pada tahun 2022 telah terkesan akibat aliran perdagangan yang terganggu, harga yang meningkat tinggi dan pertumbuhan permintaan yang mencapai paras tertinggi, melepasi lapan bilion tan buat kali pertama.
“Dengan permintaan dijangka kekal pada paras yang sama dalam beberapa tahun akan datang, harga arang batu akan terus meningkat pada 2023 dengan permintaan dijangka kekal tidak berubah daripada paras berkenaan sehingga 2025, apabila kemerosotan dalam pasaran matang diimbangi permintaan kukuh ekonomi sedang pesat membangun di negara-negara Asia,” katanya. – KOSMO! ONLINE