PETALING JAYA – Seorang wanita terkejut rupa-rupanya pernikahan ketiga dengan suaminya tidak sah dan boleh dihukumkan sebagai zina, berikutan dia masih berstatus isteri orang selepas tidak pernah mendaftarkan perkahwinan terdahulu di pejabat agama di negara ini.
Episod duka rumah tangga dialami wanita tersebut diceritakan menerusi Facebook Peguam Syarie: Nor Asyiqin yang menceritakan, wanita tersebut melangsungkan pernikahan dengan seorang lelaki (poligami) pada tahun 2011 di negara seberang.
“Wanita itu berkahwin dengan suami pertama mengikut prosedur pernikahan dengan memperoleh kebenaran pejabat agama dahulu. Namun perkahwinan mereka tidak kekal dan kemudian mereka bercerai.
“Dia kemudian berkahwin dengan suami kedua di negara seberang (poligami) pada tahun 2011. Kemudian pada tahun 2012, selepas melahirkan anak dan ketika bayinya berusia empat bulan, lelaki itu terus menghilangkan diri tanpa khabar dan gagal dikesan sehingga kini.
“Bagaimanapun, wanita itu langsung tidak memfailkan pengesahan pernikahan di Malaysia dan beranggapan pernikahannya telah batal dengan sendiri disebabkan lelaki itu tidak memberi nafkah,” katanya pada hantaran tersebut.
Kemudian wanita itu berkahwin dengan suami ketiga dan hasil pernikahan tersebut, mereka dikurniakan dua anak.
“Wanita itu terbaca posting berkenaan kesan tidak memfailkan pengesahan nikah antara lainnya adalah status kelahiran anak. Posting tersebut meninggalkan keraguan terhadap perkahwinannya selama ini.
“Dia beranggapan selama ini pernikahannya telah terbatal dengan sendiri, namun sangkaannya salah sama sekali kerana kuasa untuk membatalkan perkahwinan seperti taklik/fasakh adalah bidang kuasa kehakiman dan bukan kita yang pandai-pandai putuskan kita sudah cerai,” jelasnya.
Nor Asyiqin berkata, wanita tersebut masih isteri kepada suami keduanya biarpun lelaki itu telah mengabaikan nafkah selama 10 tahun.
“Ini bermaksud, pernikahannya dengan suami ketiga selama ini adalah tidak sah dan boleh dihukumkan sebagai zina sebab wanita itu sebenarnya masih isteri orang.
“Kenapa dia mudah kahwin dengan suami ketiga? Sebab pernikahannya dengan suami kedua tidak pernah difailkan pengesahan, maka oleh itu pejabat agama tiada rekod pernikahan mereka sekali gus tidak mengetahui dia sebenarnya isteri orang.
“Sekarang mahkamah mengarahkan wanita itu memfaraqkan pernikahan dengan suaminya agar dia menyelesaikan dahulu pengesahan nikah poligaminya dengan suami dahulu,” katanya. – KOSMO! ONLINE.