fbpx

Rakan lihat mayat penuntut UiTM berlumuran darah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sebahagian kakitangan dan pelajar UiTM Rembau menunaikan solat jenazah sebelum dibawa pulang ke kampung halaman masing-masing semalam. Gambar kecil dari kiri Adib dan Aiman.

REMBAU – Perjalanan pulang sekumpulan pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) cawangan Rembau selepas makan malam di Pedas di sini, berakhir dengan tragedi apabila dua daripada mereka maut dalam kemalangan awal pagi semalam.

Kejadian pada pukul 1 pagi di Kilometer 2, Jalan Kundur-Pilin di sini, mengorbankan Muhammad Adib Roszaidi, 21, dari Karak, Pahang dan Muhammad Aiman Roslee, 21, dari Ipoh, Perak.

Dua pelajar semester lima, Diploma Komunikasi Massa itu disahkan maut di lokasi kejadian.

Rakan baik mangsa, Muhammad Darwisy Nor Farain, 22, berkata, ketika kejadian, mereka dalam perjalanan pulang ke rumah selepas makan malam di Taman Pinggiran, Pedas.

“Kami kenal selepas menyertai Kelab Jawatankuasa Sukan Pelajar. Aiman suka bermain badminton dan menjadi johan pertandingan antara kolej kediaman. Dia juga baru pulang daripada mengerjakan umrah.

“Adib pula seorang yang pe­ramah dan ceria. Jika tiada mereka berdua, memang aktiviti kami kurang ceria. Malam tadi (kelmarin) kami merancang mandi sungai di Lubuk Talan, namun segala-galanya kini tinggal kenangan,” katanya ketika ditemui di Hospital Rembau, di sini semalam.

Menurut Muhammad Darwisy, ketika kejadian, dia yang me­nunggang motosikal di hadapan terdengar bunyi objek terjatuh lalu berpatah balik dan terkejut melihat Aiman terbaring kaku berlumuran darah.

Keadaan motosikal salah seorang mangsa selepas terlibat dalam kemalangan di Rembau awal pagi semalam.

“Saya lihat Adib sudah tercampak masuk ke dalam gaung. Seorang lagi rakan kami parah,” katanya.

Sementara itu, Penolong Rektor UiTM Kampus Rembau, Prof. Madya Dr. Muhammad Hakimi berkata, pihaknya kehilangan dua pelajar yang bakal menduduki ujian kurang sebulan lagi.

Menurutnya, kedua-dua arwah disenangi ramai dan atas persetujuan keluarga, jenazah disolatkan di UiTM Rembau sebelum dibawa pulang ke kampung.

Muhammad Darwisy menunjukkan tangkap layar video pertemuan terakhir mereka semasa makan malam di Taman Pinggiran Pedas, Rembau malam kelmarin. FOTO NOR AINNA HAMZAH

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintenden Hazri Mohamad berkata, motosikal Muhammad Adib ter­babas dan melanggar tiang Te­lekom Malaysia sehingga patah dan jatuh melintang atas jalan.

“Motosikal ditunggang Muhammad Aiman tidak sempat mengelak lalu terbabas,” katanya. Kedua-dua penunggang motosikal itu disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI