JOHOR BAHRU – Kehidupan seorang warga emas penuh pancaroba dalam tempoh 10 tahun kebelakangan ini apabila lelaki berusia 82 tahun itu berdepan dengan pelbagai liku hidup termasuk kehilangan isteri dan anak bongsunya.
Abd. Hameed Uthman yang tinggal bersama anak perempuannya, Hathijah Beevi, 49, di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Cendana di sini, kini bergantung hidup atas bantuan yang diterima Hathijah Beevi.
Abd. Hameed berkata, isterinya, Rogayah Bibi Kadir Maideen yang lumpuh telah meninggal dunia pada 2012 dan setahun kemudian, anak lelakinya berusia 40-an yang menjadi punca pendapatan keluarga pula telah ‘pergi’ kerana penyakit hati.
Dia yang dahulunya peniaga kedai makan kini hanya menghabiskan masa di atas kerusi roda setelah terlibat kemalangan jalan raya sehingga tulang paha kanannya patah, tiga tahun lalu.
“Saya juga hidap pelbagai jenis penyakit seperti kencing manis, darah tinggi dan sakit jantung.
“Hathijah pula baru menjalani pembedahan otak pada Disember lalu. Sebelum ini dia pernah dua kali menjalani pembedahan membuang bendalir di dalam otak di Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini. Lehernya juga terpaksa ditebuk bagi memudahkan pernafasan.
“Selepas pembedahan terakhir bulan lalu, penglihatan dan pertuturan Hathijah kurang jelas,” katanya baru-baru ini.
Terdahulu, dua beranak itu dikunjungi Pengurus Besar Pasaraya Econsave, Mas Imran Adam yang menyampaikan sumbangan barangan keperluan dan perkakas elektrik.
Ujarnya, mereka kini bergantung sepenuhnya bantuan daripada Majlis Agama Islam Negeri Johor dan Jabatan Kebajikan Masyarakat sebanyak RM700 sebulan yang diperoleh Hathijah.
Katanya, dia tidak layak mendapat bantuan kerana bukan rakyat tempatan walaupun sudah berkali-kali memohon kerakyatan setelah lebih 40 tahun bermastautin di negeri ini.
“Saya pernah ditipu ejen bagi memohon MyKad pada 10 tahun lalu. Saya bukan sahaja kerugian RM18,000, malah dokumen asli juga dilarikan ejen itu,” ujarnya.
Tambahnya, dia kini memerlukan sumbangan orang ramai untuk membeli lampin pakai buang, susu formula khas serta ubat-ubatan kerana bantuan yang diperoleh anaknya itu tidak mencukupi.
Orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan menerusi akaun Public Bank 6897518224 atas nama Hathijah Beevi atau menghubungi talian 016-771 9116.