TOKYO – Sebuah pesawat milik syarikat penerbangan tambang murah, Jetstar melakukan pendaratan cemas di Chubu, tengah Jepun, semalam, selepas pihak berkuasa menerima ancaman bom, lapor Badan Penyiaran Jepun (NHK).
Menurut NHK yang memetik sumber polis, pendaratan cemas itu dilakukan selepas seorang pemanggil antarabangsa membuat ancaman tersebut dengan menyatakan dia telah meletakkan bom di dalam pesawat berkenaan.
Lapangan terbang Narita di Tokyo menerima panggilan pada pukul 6.20 pagi (waktu tempatan) daripada seorang lelaki di Jerman yang membuat dakwaan tersebut dalam bahasa Inggeris.
Menurut CNN, jurucakap lapangan terbang Chubu menyatakan bahawa penerbangan domestik dari Narita ke bandar barat daya Fukuoka telah dilencongkan ke lapangan terbang itu.
Sekurang-kurangnya lima orang cedera ringan ketika meninggalkan pesawat tersebut, lapor NHK yang menyiarkan rakaman penumpang keluar dari pesawat melalui gelongsor kecemasan.
Gambar yang dikongsi di media sosial menunjukkan sebuah pesawat Airbus A320 yang dikendalikan oleh Jetstar dengan para penumpang dipindahkan dari pesawat tersebut dengan menggunakan gelongsor.
Memetik sumber polis, NHK berkata, pemanggil itu mendakwa telah meletakkan 100 kilogram bahan letupan plastik di dalam ruang kargo pesawat tersebut dan meminta untuk bercakap dengan pengurus atau dia akan bertindak ‘mengaktifkan’ bom itu menyebabkan ia akan meletup.
Namun, tiada bahan letupan ditemui di dalam pesawat itu selepas pemeriksaan dilakukan, kata NHK.
Jurucakap lapangan terbang Chubu berkata, pesawat itu menyambung semula penerbangan selepas ditunda selama empat jam dan kejadian tersebut sedang disiasat. – Agensi