MILAN,Itali -Sepasang kekasih didenda £360 (RM2,000) oleh polis Itali kerana membuka pelitup muka mereka untuk bercumbu di tempat awam dalam insiden di bandar ini.
Pasangan yang merupakan seorang lelaki Itali berusia 40 tahun dan teman wanitanya dari Poland itu didenda kerana melanggar peraturan memakai pelitup muka pada 9 Oktober lalu, lapor portal berita Libero.
Menurut peraturan yang dikuatkuasaskan kerajaan Itali, semua individu diwajibkan memakai pelitup muka pada setiap masa dan mengalmalkan penjarakan fizikal sekurang-kurangnya satu meter ketika berada di tempat awam.
Pasangan itu berkata, mereka dalam perjalanan ke sebuah restoran ketika insiden itu berlaku. Mereka juga mendakwa bersendirian di kawasan itu dan tiada orang lain yang lalu-lalang.
Menurut laporan, polis curiga dengan kesahihan hubungan pasangan itu apabila mendapati mereka tinggal di alamat berbeza.
Namun begitu, tiada undang-undang di Itali yang mewajibkan lelaki dan wanita yang bercumbu di tempat umum perlu dipastikan sedang bercinta dan tinggal bersama.
Ini adalah kejadian kedua yang menimbulkan rasa tidak puas hati rakyat Itali berkenaan peraturan sepanjang wabak koronavirus menular di negara itu.
Baru-baru ini, polis Itali bertindak mendenda seorang lelaki yang bersantai di sebuah pantai dengan alasan tidak mengamalkan penjarakan fizikal walaupun ketika kejadian, dia berseorangan dan tiada orang lain di kawasan tersebut. -AFP